Buah tangan pertama bagi novelis baru, Dhiya Zafira ini memang tidak menghampakan para peminat novel dan ia merupakan pembelian yang berbaloi . Walaupun tema dan persoalan yang disampaikan agak sterotaip dengan novel-novel alaf sebelum ini, namun Dhiya berjaya mengolah plot cerita supaya ianya mempunyai keistimewaan tersendiri dan tidak membosankan bila kita membacanya .

Plot penceritaan yang agak santai dan tidak berbelit-belit membuatkan pembaca dapat menghayati jalan cerita tanpa sebarang tekanan . Namun begitu terdapat juga beberapa persoalan yang menyebabkan kita tertanya-tanya perkara yang sebenarnya berlaku . Tetapi persoalan tersebut terungkai dalam bab yang seterusnya menyebabkan pembaca berasa puas hati dengan penjelasan tersebut .

KDB mengisahkan tentang cinta pandang pertama yang berputik di antara Adnan Taufik dan Alia. Namun begitu percintaan mereka mendapat halangan dan tentangan daripada bapa Alia kerana perbezaan darjat dan ketidakyakinan Dato Ariffin terhadap keupayaan Adnan Taufik untuk membahagiakan anaknya . Walaupun mendapat tentangan daripada bapa Alia, Adnan Taufik yang tidak mengikut hawa nafsu dalam merealisasikan impian untuk mengahwini Alia . Sebaliknya Adnan Taufik mengambil pendekatan bijak dengan menerima syarat yang dikemukakan oleh Dato Ariffin demi membuktikan bahawa beliau mampu membahagiakan Alia dengan caranya sendiri .

Walau bagaimanapun, perkahwinan di antara Adnan Taufik dan Alia mengalami pergolakan dan bergelora ekoran daripada campur tangan Dato Ariffin dalam rumah tangga mereka. Selain daripada itu, sikap Adnan Taufik yang menyembunyikan perkara sebenar tentang syarat yang dikenakan oleh Dato Ariffin dan siapa dirinya turut menyumbang kepada keretakan rumahtangga mereka . Alia tersepit di antara kasih sayang serta tanggungjawab seorang anak untuk menjaga bapanya yang sakit dengan kebencian seorang suami terhadap bapanya .

Demi memulihkan keadaan, Alia telah bersetuju untuk mengikut Adnan Taufik ke luar negara setelah mendapat keizinan daripada bapanya yang mulai insaf akan kesalahannya .


Ketidakmunculan Alia di lapangan terbang pada hari yang dijanjikan dan ditambah pula dengan perasaan syak wasangka serta ego yang tinggi menyebabkan Adnan Taufik pergi meninggalkan Alia bersama-sama permata hati mereka Sarah, yang berusia lima bulan pada ketika itu.

Pertemuan semula selepas tujuh tahun telah menyingkap kisah sebenar . Demi perasaan cinta yang masih bersisa dan demi seorang anak yang merindukan belaian kasih sayang seorang ibu, Adnan Taufik cuba menebus kembali kesilapannya. Kelukaan dan kesedihan yang dialami oleh Alia dalam tempoh tujuh tahun itu menyebabkan ianya begitu sukar untuk dirawat walaupun berbagai-bagai cara telah digunakan oleh Adnan Taufik untuk menyembuhkan luka di hati .

Cerita dalam novel ini menyedarkan kita bahawa ikatan perkahwinan bukanlah sekadar penyatuan dua jasad semata-mata. Sebaliknya ia merupakan perkongsian dua jiwa yang memerlukan pengorbanan, kejujuran, pengertian, keikhlasan serta sikap bertolak ansur. Walau apa jua yang ingin kita lakukan jangan jadikan anak-anak sebagai mangsa. Berfikir secara realistik dan ambillah pendekatan secara berbincang dan mendengar penjelasan pasangan sebelum kita menjatuhkan hukuman atau membuat keputusan.

Ada cinta agung antara hamba dan TUHANnya . Cinta kudus antara bonda dan anaknya . Ada cinta rafik yang setia. Ada cinta berahi antara kekasih teruna dara. Ada cinta persaudaraan yang tiada bandingnya . Ada cinta sesama makhluk yang begitu mulia dan cinta dikatakan hampir tidak memilih usia . Ia juga tidak mengira rona bangsa. Tidak ada miskin kaya dalam kamus cinta. Cinta dikatakan sesuatu yang cukup luar biasa dalam cakerawala hidup setia jiwa.

( dipetik daripada novel KDB )

Norfadzila Nordin

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati