Sejak dari dulu, saya begitu gemar membaca novel - novel hasil karya Anis Ayuni . Selain daripada menghiburkan para peminat novel dengan jalan cerita yang menarik, beliau juga turut menyelitkan nasihat dan teguran secara tidak langsung kepada pembacanya.

Saya rasa ini merupakan cara yang paling sesuai dan idea yang bijak untuk mendidik remaja pada masa kini agar tidak terjebak dalam gejala sosial yang tidak diingini. Disamping berhibur dengan cerita yang disajikan, para pembaca turut didedahkan dengan tatacara dan adab sopan kita sebagai masyarakat timur.

Dalam novel beliau yang terbaru, ' Seribu Kali Sayang', Anis Ayuni cuba memaparkan tema percintaan selepas berkahwin . Percintaan selepas berkahwin merupakan percintaan yang sejati di mana suami dan isteri saling mencintai untuk memperolehi keredhaan-NYA. Namun begitu tidak salah sekiranya kita ingin bercinta sebelum berkahwin, asalkan ianya berlandaskan syari'at Islam. Peneraju utama dalam novel ini didukungi oleh Syed Nadjmil Faiz (Faiz) dan Nur Qazrina (Abby).

Nur Qazrina (Abby), seorang pelajar jurusan perubatan di Padang merupakan seorang anak yang telah ditinggalkan bapanya sejurus selepas kelahirannya. Hal ni dijadikan alasan oleh kakaknya Lisa untuk memusuhinya dan tidak mahu menganggapnya sebagai seorang adik . Namun begitu, Abby bernasib baik kerana mempunyai seorang ibu dan seorang ibu saudara yang begitu baik, penyayang, dan sering mengambil berat akan dirinya.

Semasa pulang ke Malaysia untuk bercuti, Abby telah berkenalan dengan Faiz, seorang peguam yang merupakan teman kepada kakaknya Lisa. Dia merasakan Faiz merupakan calon suami yang sesuai untuk kakaknya Lisa, seorang model yang terkenal dan jelita serta mempunyai ramai teman lelaki. Walaupun kadangkala terusik naluri kewanitaannya dengan layanan mesra dan istimewa yang diberikan oleh Faiz, namun Abby cuba menepis perasaan tersebut jauh dari hatinya.

Berlainan pula dengan Faiz, lantaran tidak dapat menahan rasa rindu terhadap Abby yang telah pulang semula ke Padang untuk meneruskan pengajian menyebabkan dia menyusul ke sana bersama ahli keluarganya dengan alasan untuk melancong. Abby telah diminta untuk menemani mereka untuk melawat tempat-tempat menarik di Padang dan Bukit Tinggi.

Sekembalinya Abby ke Malaysia sebaik sahaja tamat pengajiannya, Abby menerima kejutan dengan utusan peminangan yang dihantar Faiz. Hal ini menyebabkan Abby berasa serba salah untuk menerimanya kerana dia telah menganggap Faiz sebagai bakal abang iparnya. Baginya adalah tidak wajar untuk menerima pinangan tersebut kerana hal ini akan menambahkan lagi kekeruhan perhubungannya dengan kakaknya, Lisa.

Namun setelah dipujuk oleh ibu dan Mak Inanya serta mendapat kata putus daripada kakaknya, Lisa, maka Abby dan Faiz selamat diijabkabulkan . Ketika masih dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing, dugaan demi dugaan datang melanda rumahtangga mereka berdua. Kemunculan semula bekas tunang Faiz, keadaan kak Lisa yang memerlukan pengorbanannya, dan kehadiran semula bapa dalam hidup mereka menyebabkan keutuhan rumahtangga Abby hampir tergugat dan menuju kehancuran.

Penyelitan lagu-lagu nostalgia seperti 'Ayam Den Lapaih' , 'Mustika' serta pantun - pantun yang indah dan puitis menyebabkan jalan ceritanya menjadi semakin menarik lantas menyebabkan saya tersenyum sendiri. Kita juga turut dibawa menjelajah ke tempat-tempat menarik di Padang dan Bukit Tinggi. Walaupun tidak pernah pergi ke sana tetapi saya seolah-olah dapat merasa dan melihat situasi di tempat tersebut kerana ia digambarkan dengan begitu baik sekali oleh penulis.

Seperti biasa, Anis Ayuni akan memasukkan peringatan dan nasihat yang berguna di dalam karyanya. Pada kali ini beliau mengingatkan kita tentang kepentingan bersolat dan hukum memakai rambut palsu. Teguran secara halus dan simbolik menyebabkan ia terus meresap ke dalam jiwa. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Anis Ayuni. Teruskan usaha untuk mendidik anak bangsa dengan menggunakan pendekatan psikologi dan bukannya kekerasan.

Pendek kata tak rugi anda memiliki karya Anis Ayuni yang terbaru ini. Semoga Kak Anis akan terus melakar cerita yang segar, mencuit rasa, berinfomatif dan tajam manikam kalbu pembaca.

Mengenalimu merupakan saat ' YANG TERINDAH ' dalam hidupku. Kehadiranmu disisi bisa menggetar ' GEMERSIK KALBU ' ku dan wajahmu sering menjadi ' BAYANGAN RINDU ' ku . Demi ' KAU KEKASIHKU ' , inginku lafazkan ' SERIBU KALI SAYANG ' agar kau mengerti dan mendengar ' SUARA HATI ' ku ini bahawa aku benar - benar bersyukur kerana berpeluang untuk mengecap ' MANISNYA CINTA ' bersamamu.

~ Ila ~

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati