Komen Novel Cuma Dia – Norzailina Nordin daripada Ina Alaf21 FC



Sudah lama saya menanti novel dari penulis ini. Sementelaah sibuk dengan aktivi masak-memasaknya, baru kini hasil terbarunya keluar. Memang saya tidak sabar sebenarnya. Bukan memuji walau memang gayanya saya memuji. Ikhlas saya katakan, beliau mempunyai gaya tersendiri dalam penyediaan tiap novelnya.



Gaya penulisannya agak berbeza dari novel-novel sebelumnya. Beliau yang lebih dikenali sebagai penulis serius, melakukan sedikit perubahan pada persembahan kali ini Ceritanya agak menarik kerana ia memang kisah masa kini yang kian dianggap lumrah walau ianya sebenarnya adalah jejak-jejak dosa. Kisah percintaan atau pertemuan semula dua kekasih yang masing-masing sudah berkawin dan beranak pinak menjadi tema novel terbaru Norzailina Nordin bertajuk CUMA DIA.

Norzailina mengupas dan menghayati perasaan dua manusia yang sudah punya pasangan masing-masing tapi kerana cinta memekar semula mereka sanggup lalui apa saja asal tidak terpisah. Orang tua bila bercinta segalanya indah belaka hingga anak isteri yang selama ini setia bersama, tidak diumpama lagi. Inilah penangan dan kisah benar yang menular dan tanpa silu menganggap ini adalah perkara biasa tanpa ingat yang sebenarnya mereka mendokong dosa! Malah lebih teruk mereka boleh tersasar lebih jauh hingga membawa janin pasangan kekasih gelap. Na’uzubillah…

Mangsa sebenar cerita ini adalah pasangan masing-masing dan anak mereka. Kerana keinginan untuk sentiasa bersama menyemarak di dada, mereka merancang untuk menyatukan anak masing-masing. Dengan cara itu mereka tidak perlu menyorok untuk bertemu. Licik sekali! Perkahwinan anak yang baru dibina hancur sekelip mata akibat petualang cinta orangtua.


Isteri yang setia menjadi mangsa kemarahan suami yang bermain kayu tiga. Saya seperti memahami atau ‘in’ perasaan Suraya yang murung. Tidak salah mencurigai sikap suami yang berubah. Walau dia sakit, Suraya masih waras dan tidak melenting menangani masalah suami yang terlebih muda lagaknya. Ber sms, bergayut di tengah malam, itukan cirri-ciri manusia mabuk cinta!


Bunyi saya macam marah kan, tapi memang saya agak keciwa dengan kelumrahan yang dianggap normal ini. Norzailina membina jambatan perasaan antara anak dan ayah yang terhidu petualang ayah sendiri. Dalam diam Dalila ‘mengekori’ episod cinta ayahnya dengan wanita misteri tersebut. Dalam diam juga dia cuba mengaitkan perubahan sikap ayahnya dengan pertemuan wanita bernama Jenny dan anaknya Hilman. Norzailina bijak mengolah hingga ulah kekasih gelap tersebut nampak macam baik belaka .


Kewalahan hati anak menjadi realiti apabila melihat keintiman ayah dah bakal mertua. Namun demi menyelamatkan rumahtangga ayah dan ibu tersayang,dia mengorbankan rasa. Sementelah kekasih hati menghilang tanpa berita, Dalila menyanggupi menerima lamaran Hilman demi kasih pada seorang ibu yang diabaikan. Cuma saya fikir Dalila adalah seorang wanita yang tidak mempunyai kekuatan cinta yang jitu pada Iqbal kerana dengan mudah hatinya beralih dan terpesona dengan layanan istimewa Hilman. Mudah saja, alasannya untuk menjaga hati ibunya yang telah ‘rosak’ akibat mabuk cinta ayahnya pada isteri orang!


Norzailina mengetengahkan juga eposid cinta pandang pertama hingga sanggup memutuskan pertunangan yang kian hampir diakhiri dengan perkahwinan. Lazim juga saya rasa akan keadaan ini di mana manusia sudah tidak peduli akan ikatan janji malah sanggup membiar malu diconteng ke wajah orangtua. Lazim bukan? Sudah tidak wujud amanah, jujur dan timbangrasa manusia kini yang memacu kehendak hati tanpa mengira perasaan orang lain terutama insan tersayang.


Tapi apa sekalipun yang berlaku, kita wajar mengambil iktibar dan berserah pada Nya. Mungkin yang kita tidak suka itu adalah yang terbaik untuk kita dan yang kita suka itu adalah bukan milik kita.


Saya banyak mengulas keburukan sikap watak-watak di dalam novel ini lebih dari watak baik kerana sikap buruk manusia-manusia inilah yang menghancurkan banyak hati. Lebih sadis bila ada pihak yang menyokong atau membenarkan petualang cinta sebegini.


Pengakhiran novel ini,adalah sesuatu yang tidak dijangka. Saya agak terkejut juga tapi tabik spring pada wanita cekal seperti Suraya.


Jika anda belum memilikinya, segera ke toko buku atau oder terus dari ALAF21. Novel yang wajar dibaca dan dijadikan teladan bukan saja untuk kerukunan rumahtangga malah menjadikan sempadan agar ia tidak terjadi dalam hidup kita. Bukan mengutuk tapi memuji lelaki yang bijak memainkan perasaan wanita!


Untuk Norzailina, tahniah kerana novel ini begitu baik sekali dan tidak jemu membaca.


Ina .


Komen Novel Cuma Dia – Norzailina Nordin. Daripada Mersik pula.


Pertama sekali menatap kulit luar novel ini, hati saya sudah tersenyum senang. Entah kenapa, warna merah yang menghiasi kulitnya nampak menarik dan begitu menenangkan jiwa. Warna merah yang tidak terlalu garang, meliputi nama penulis dan sebagai antara warna rimbunan bunga menjadikan kombinasinye tidak terlalu menyerlah justeru mendamaikan. Lembut dan sejuk mata memandang. Cuma tajuk novelnya “Cuma Dia “ sedikit kecil dan cuma-cuma saja. Tetapi tidaklah pula menjadi hal. Syabas sekali lagi diucapkan pada si desain cover untuk novel ini.



Menguliti beberapa bab permulaan dari penulis yang berpengalaman ini, hati sudah dapat mengesani akan “perkara baru” yang ingin ditonjolkan. Kini segala pertanyaan sudah terjawab. Seperti yang di war-warkan oleh penulis sebelum ini, inti kisah kali ini memang berlainan sekali.


Memang agak sukar untuk mengadakan beberapa plot dalam sesebuah novel. Dan wataknya pula agak ramai mencakupi peringkat usia dan keadaan. Dalam keadaan ini, apa yang dibimbang oleh kebanyakan penulis barangkali takut kalau-kalau pembaca terkeliru. Justeru itu, penulis juga perlu memastikkan konflik atau jalan cerita tiap-tiap watak adalah tersendiri.


Ini seumpama menulis beberapa cerita dalam sebuah cerita. Tiap-tiap satunya punyai konflik dan kekuatan watak yang berbeza. Namun tema asalnya tetap bersandar pada kisah kekeluargaan, cinta dan konflik yang melanda pada setiap peringkat umur watak-watak yang ada. Kisah remaja, pasangan dewasa dan cinta di usia emas ditulis berselang seli dengan baik sekali hingga membuat pembaca jadi teruja mengikuti setiap kisah. Macam-macam konflik dan persoalan berkisar di dalamnya.


Apa perasaannya bila kekasih hati dikebas rakan sendiri?
Macam mana ya, kalau kita hendak memulakan sebuah perkenalan remaja?
Kalau cinta lama datang kembali dan maraknya umpama gunung berapi, yang mana satukah pilihan hati, antara keluarga atau kekasih hati?
Dan, kalau tidak kenal dengan lebih mendalam, bolehkan datang cinta?


Alahaiii...


Membaca novel ini, membuatkan saya tersenyum sendiri, ketawa, tersengih-sengih, gembira, sedih, marah, terkilan dan terkadang sampai meremang-remang bulu roma serta merah-merah pipinya. Hingga... nyaris-nyaris saya membaca sambil menutup mata.


Dan seperti biasa, antara kekuatan sang penulis ini tentulah pada kajian-kajian yang dilakukan sebelumnya dan perincian watak yang digambarkan, selain latar belakang tempat yang jelas diceritakan pada setiap novelnya. Watak-watak seperti Meor Hassan, Suraya, Jenny, Hilman, Dalila, Iqbal, Ikhwan, Mimi, Danial, Farish dan lain-lain tampak hidup dalam cerita mereka yang tersendiri.

Dan pengakhiran cerita tidaklah selalu tepat dengan apa yang kita harapkan. Walau pun bahagia yang menanti, pastinya ada rasa hati yang tertanya-tanya. Apa-apa pun, biarlah novel ini yang berbicara sendiri. Jangan lupa mendapatkannya di pasaran.


Saya memberi komen pun, sekadar cuma-cuma saja... hik hik

Mersik.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati